Sunday 31 March 2013

Sisi Gelap Diriku yang lalu...

howear.wordpress.com


Aku berjalan meniti hari-hari... adakalanya dunia ini terasa asing buatku. Pernah aku ke KLCC suatu masa dulu dengan dua orang sahabatku dari Jepun waktu muda-muda di zaman belajar. Setibanya di sana semuanya seperti tak kena dalam jiwaku. Sahabatku sibuk memilih kasut, aku pula terasa seperti di alam lain walaupun jasadku ke hulu dan ke hilir dalam pusat membeli belah itu. Aku ada juga nyatakan perasaanku pada sahabatku namun sikit pun mereka tidak mengerti. Lalu sekali lagi aku putuskan untuk terus menyendiri tanpa aku ceritakan semua pada yang lain.

Terkadang usai sudah kelas-kelasku, aku memilih untuk duduk sendiri di tepi sungai. Lebih tenang aku di situ. Ya, aku tak seperti yang lain. Jika aku tak faham dan tak berpuas hati, aku lemparkan pertanyaan bertubi-tubi pada pensyarahku sehingga mereka terdiam. Aku tidak pernah mahu mencabar ego mereka, sikit pun tidak pernah kerana apa gunanya itu. Aku cuma mahu tahu apa yang aku mahu tahu. Tiada...tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang tahu semuanya apatah lagi layak bergelar Guru pada hakikat sebenar-benarnya. Setiap jiwa diberi cebisan demi cebisan dan bahagian masing-masing tidak pernah sama. Aku hairan, berguru yang bagaimana mereka maksudkan? Aku garu kepalaku yang tak gatal berkali-kali memikirkan kata-kata mereka. Hm.. santai lagi pabila aku melihat air yang mengalir tenang setiap kali fikiranku kusut. Biarlah mereka... kata hati kecilku.


www.layoutsparks.com


Dalam diri kita terlalu banyak misteri yang sukar buat kita huraikan apatah lagi apabila sesuatu yang terlintas di hati kita adalah sesuatu yang tidak dapat kita huraikan dengan kata-kata. Bukan semua yang hadir itu wujud dalam ikatan kata-kata. Kebesaran Tuhan itu tak terjangkau dek akal dan kerana infiniti setiap jiwa mampu menampung maksud demi maksud yang sungguh besar berbeza-beza setiap jiwa. Berkongsi misteri jiwa dengan yang lain bukanlah perkara yang mudah seperti berkongsi aiskrim Magnum yang baru seperti di kaca TV. Hanya jika kemampuan menjangkau maksud itu tergapai oleh jiwa yang lain barulah mesej yang mahu disampaikan itu mampu dihadam dengan baik.

hdw.eweb4.com

Setiap jiwa yang diciptakanNya telah dipahatkan kemas-kemas tentang beberapa perkara. Oleh kerana itu, sedalam mana pun lautan yang manusia selami, setinggi mana pun gunung yang di daki, sehebat mana pun ilmu yang dipelajari tetap tidak akan dapat memadamkan memori-memori yang Tuhan telah rakamkan dengan kemas dalam lubuk hati Jiwa-jiwa. Setiap yang namanya manusia itu, ada memori yang sama. Apakah memori itu? Apakah yang tersisa dalam jiwa setelah semua ingatan-ingatan yang lampau telah dipadamkan dengan sengaja? Pernahkah anda berfikir tentang perkara ini? Misteri diri ini memerlukan kunci yang letaknya tersembunyi dan kita juga perlu menjelajah dalam diri mencari pintu-pintu hati yang jumlahnya juga misteri.









Tiada paksaan dalam kepercayaan dan juga pencarian setiap dari kita berbeza-beza walaupun lahir dari rahim yang sama. Dalam pencarian diri ini juga terdapat peringkat demi peringkat di mana pencerahan diberikan di dalam hitam putih kehidupan dan terpulang pada kita untuk membuka minda dan hati demi pengertian diri yang sejati. 

Jika pendua diri anda datang kepada anda, adakah anda sedar kehadirannya dan mendengari suara serta mengamati kata-katanya?

Saturday 30 March 2013

BerSerilah wahai Sakti... Turunlah kamu ke muka Bumi..!

                                                                           shaktiwomyn.com


Wahai kamu sekalian manusia...!

Kamu semua sudah lupa apa tujuan kamu ke mari. Kamu bertelagah sesama sendiri. Makan dan minum setiap hari sehinggakan semuanya jadi sungguh enak sekali. Oh Bumi Pertiwi, jangan tinggalkan kami sendiri... Manusia busuk yang takut mati..!

Kamu dakap erat-erat semua nikmat di bumi sehingga kamu menjadi sungguh tamak. Awas kamu wahai manusia! Kamu fikir kamu benar, bawa utusan dari langit. Bawa pedang tuhan dan ingin memancung manusia yang lain. Kamu semua kenapa?! Tak cukupkah nikmat Tuhan yang diberikan pada kamu? Asyik mengeluh senantiasa. Tak bersyukurkah kamu? Ataupun kamu semua sudah menjadi gila?

Hah.... mahu jadi penyelamat umat manusia lagaknya. Diri sendiri lupa siapa gerangannya. Kamu fikir kamu siapa? Sungguh, Tuhan jelek melihat kebodohan ini semua. Aku sendiri mahu termuntah berkali-kali. Demi kerana kasihan dan rasa sayang, ketahuilah, segala apa yang kamu ramalkan semuanya akan hancur!! Hancur sehancur-hancurnya. Aku sumpah kamu semua biar terpaku di dalam kegelapan. Merataplah kamu semua di situ memanggil Tuhan.

www.artworks-creations.com


Jiwa wahai Jiwa kembali kepada asalmu...
Aku seru kamu datanglah merangkak di kaki Tuhan. Sungguh sombong kamu wahai manusia gila. Masuklah kamu dalam neraka dunia. Meraunglah kamu di dalamnya. Sehari-hari masa berlalu, hati-hati semakin buta rasa dan hilang cinta entah ke mana. Kamu semua sudah lupa. Mahukah kamu aku ingatkan semula?
Ha...?! Mahukah kamu...?




Wednesday 27 March 2013

Impi dan mimpi....

                                                                         zastavki.com


Hmm...rindunya aku untuk melihat bulan puas-puas...
Bulan seringkali dijadikan mangsa sang pujangga cinta menjadi saksi cintanya..
Tenangnya setiap kali aku melihat bulan. Apatah lagi pabila bulan penuh.

Bukan selalunya kita dapat melihat bulan penuh bersama bintang yang penuh bertaburan. Lampu-lampu di bumi terlalu terang barangkali. Kosongnya jiwa sering membuatkan aku merasa bersendiri. Aku pejamkan mata dan aku mendengar kata-kata hati aku yang sering berbicara dengan aku.

Hidup ada banyak perkara yang tak pasti dan seringkali membuatkan kita pasrah. Namun, aku tak mahu terus bersedih. Penat. Walaupun alam ini satu ilusi, namun tetap ia sungguh indah untuk dinikmati. Aku suka angin yang bertiup perlahan menyapa aku. Sapaannya boleh membuatkan aku rasa bahagia walau hanya sebentar namun ia cukup untuk memberi aku semangat dan kekuatan meneruskan hari-hariku.


                                           

Ada masanya ingin kita luahkan semua rasa di dalam hati, namun siapakah yang akan mengerti hati ini? Hidup ini yang sebenarnya terlalu indah jika kita hayati. Walaupun terdapat seribu satu rahsia yang sungguh menjengkelkan tetap aku ingin mengatakan bahawa kita tak seharusnya terus-terusan merasa kecewa. Walaupun berat, aku pujuk hatiku untuk terus percaya bahawa saat itu akan tiba. Biarpun lama harus aku menanti. Walaupun tak tahu dah berapa banyak airmataku mengalir setiapkali mengenangkan perkara ini. Sayu dan berat hati. Cuaca pun seakan mengerti. Angin... tolong sampaikan semua rasa ini....


                                                

Saturday 23 March 2013

Suatu Ketika saat Masa belum lagi Ilmu



    foxnomad.com
                                                                                          

Di suatu Dataran yang tak bertuan,

Sungguh saujana mata yang memandang... Luas terbentang... Sayupnya mata memandang... Kelihatan makhluk-makhluk yang serupa wajahnya, tiada berjantina. Lelaki tidak....perempuan pun tidak.. Warna mereka semuanya sama. Tiada rasa tapi punya upaya serupa antara satu sama lain. Namun mereka cukup tersendiri sifatnya...

Mereka ditaburkan di Dataran ini tanpa kenal sesiapa. Satu.... satu.... satu.... Kau....kau.... aku.... aku.... Makhluk ini keseorangan setiap satunya seperti ada yang hilang. Hilang tak dicari. Entah apa yang hilang sungguh sukar dimengerti. Jauh dan sayup-sayup..



reformed4christ.wordpress.com
                                                                                                                                            
Mereka berseorangan setiap satunya. Sendiri. Tiada bersaudara walaupun semuanya sama tak serupa. Asing seasing-asingnya. Sendiri dan bosan. Terpaku. Melahu lama-lama tanpa mengerti di mana, ke mana, kenapa, bagaimana dan untuk apa. Itulah ketika di mana Masa bukan satu Ilmu. Satu...  satu... satu... itulah JIWA-JIWA yang diciptakan oleh Sang Pencipta. Pastinya punya cerita tersendiri makhluk ciptaan Sang Pencipta ini. Jiwa tidak kenal Penciptanya. Jiwa kosong....sunyi....sepi...dan sendiri...sayupnya angin pun tak dirasai.. Jiwa tidak mengerti. Jiwa cuma Jiwa.

Bergetaran setiap Jiwa dengan tiba-tiba... Entah kerana apa. Melayang-layang.... di awangan namun tidak terbang...

Bergetaran tanpa mengerti lalu sujud setiap Jiwa. Berbaris lurus... dalam keadaan bersujud. Lama mereka begitu... Sujud melengkung dahi dan punggung. Tiada mereka mengerti semuanya.

Kemudian bangkitlah Jiwa dari sujud. Tiada berdiri, melutut dan takut. Dihadapkan mereka depan Sang Pencipta pertama kalinya untuk setiap mereka. Terasa semulajadi suatu pertalian erat antara Sang Pencipta dan Jiwa. Lebih ditambahkan...Kurang dilebihkan. Sama semuanya. Jiwa kini telah kenal Sang Hyang Pencipta yang sangat agung dan adil itu.

Digambarkan pada setiap satu Jiwa dengan gambaran sesuatu yang sangat hebat. Tergambar gambaran yang tiada pernah terlintas oleh Jiwa. Mereka masing-masing menjadi tertarik kerana agungnya gambaran yang terpampang di hadapan mereka itu. Jiwa meronta-ronta mahu memiliki apa yang digambarkan Sang Pencipta. KataNya... ''segala-galanya ini adalah hadiah yang hanya akan Aku berikan pada Jiwa yang berjaya melalui ujian yang sangat-sangat berat.'' berkata pula semua Jiwa, ''aku pasti akan berhasil mendapatkannya kerana pasti akan aku usahakan sedaya mampuku, dan pasti itu semua akan menjadi milikku suatu masa nanti. DemiMu...'' Jiwa bersumpah atas nama Sang Pencipta.

                                                                        www.buncee.com

Bermulalah episod suka dan duka pabila satu demi satu jiwa-jiwa ditaburkan ke Alam-alam Maya dan berevolusi dengannya serta dipadamkan semua memori-memori lampau dan segala apa yang digambarkan di Dataran Tak Bertuan itu lenyap dan dilupakan segala asal-usul. Mereka dilupakan segala-galanya dan mereka perlu mencari dirinya yang sebenar... sendiri....









Inilah UJIAN yang sebenarnya. Untuk mencari dan mengenali dirinya, untuk apa dia dicampakkan ke dalam Alam Maya dan seterusnya siapa Penciptanya. Jawapan segala teka-teki itu sungguh berselirat terikat erat di setiap lipatan Alam Maya ini...


Thursday 21 March 2013

Suatu Masa beribu-ribu tahun dahulu....

                                                                              www.flikr.com

Alam yang kita duduki ini suatu masa pernah terlakar pelbagai takdir demi takdir yang membentuk cerita demi cerita. Watak dan wajah seringkali berulang tanpa kita sedar keberadaannya dan akui kewujudannya.

Misteri yang tak terungkapkan...

Seringkali kita melihat jauh dari kita sehingga terlupa di dekat punya segala maksud yang menunggu waktu disingkap dan dihayati sebagai kunci diri di pintu-pintu hati yang lama bersembunyi.

Aku mengeluh... terasa kepenatan bagai berabad-abad lamanya...
Lelah melihat manusia mengulang-ulang kesilapan yang sama berkali-kali. Seronok agaknya. Aku pun tak mengerti. Mungkinkah aku ini sudah mati dan itu menyebabkan semua rasa hidup itu telah lama pergi ataupun aku ini pengembara yang menunggangi waktu datang dan pergi tidak disedari.






                                           

                                     

Sesungguhnya rahsia akan kekal rahsia dalam diri yang tak wujud dan Wujud itu hanya kekal rahsia.
Mahukah kamu mengizinkan angin berhembus dan membisikkan sesuatu dari masa lalu..? Mahukah kamu aku bawa mengembara ke dalam sebuah alam, terbang tanpa rasa terkurungnya sebuah jiwa? Mahukah kamu lepaskan semua dan jujur pada rasa? Tiket sudah ku beri, hanya raja dalam diri mahu atau terus diam. Keretapi sudah ku masukkan arang untuk menghangatkan lagi perjalanan. Kopi sudah siap tersedia, langsir putih di jendela keretapi ini dihembus-hembus angin malam yang memanggil-manggil.

www.hotakimi.com

Di stesyen yang tak kelihatan dari mata kasar ini, siapkan bagasimu dan kita bergegas masuk ke dalam keretapi yang siap untuk terbang untuk suatu pengembaraan yang tidak terbayar dengan apa-apa nilai material...Yok...!

                                       

Sunday 17 March 2013

Jeritan JIWA ...... dapatkah kau dengar? kenalkah kau pada 'aku'?


Jiwa....
Apa itu jiwa...? Aku mengembara melalui masa... zaman remaja... dewasa... dan masih seringkali aku termenung.... seolah-olah aku terbang mengembara dan berfikir siapakah aku ini. Kenapa aku tak seperti yang lain. Aku tak peduli apa kata mereka kerana mereka tidak tahu apa yang aku fikirkan dan mereka juga tidak pernah tahu siapa aku yang sebenarnya dan aku pun tak mahu ambil peduli tentang mereka melainkan aku terpaksa.

Namaku Muhdalena Ahmad. Aku pernah membenci namaku sendiri yang kedengaran sungguh pelik dan mungkin jelek. Namun, dalam meniti masa sedikit demi sedikit aku mula diajari tentang namaku sendiri. Tiada kebetulan dalam kehidupan ini melainkan itulah yang terjadi dan diulangwaktu kembali pun tetap tak akan berubah melainkan sesetengah perkara terkecuali. Segala yang berkait dengan diri kita, itulah kita. Apa yang kita suka, apa yang kita benci, suara rahsia dalam diri, ketakutan, keberanian, keinginan, sifat kita, mimpi kita, khayalan kita, nama kita, kegemaran kita, perangai buruk kita semua dan segala. Semua didatangkan dalam pakej dari lahirnya kita dan setiap dari kita itu unik dan berbeza. Tak pernah kamu itu aku dan tak akan pernah aku menjadi kamu.

Peliknya...nama kita tu nama siapa? Kita... iya... kamu...aku?... ya.. kamu tu.. Dah tak payah tertoleh-toleh ke belakang lagi.. kamu la tu.. Hm... aku.. siapa aku? Nak kata tangan ni aku, bukan.. ini tangan aku.. bukan aku.. semuala.. semua ni kat badan ni bukan aku.. abis... aku kat mana? dalam badan aku ni kot... tak jumpa pun... ha.... itulah jiwa yang Dia ciptakan. Ternyata dan terang aku itu bukan pada jasad. Tapi... kenapa dulu aku sekolah cikgu tak pernah cerita. Ustaz pun tak cerita. Mak aku pun tak cakap apa-apa. Mungkin bagi mereka di luar sana ini adalah satu soalan mudah yang tak perlu nak tanya pun. Buang masa. Tak mendatangkan hasil. Tak dapat duit berkepuk-kepuk pun.

Tapi ini soalan penting bagi aku... Aku mencari dan terus mencari. Aku tak peduli mereka nak kata apa, dan aku tak peduli mereka nak percaya apa. Yang aku tahu, aku memang nak tahu dan aku tak tahu bagaimana kepercayaan aku itu tidak semena-mena akan terpahat jika aku ketemu dengan apa yang aku cari, dan aku akan percaya dari dalam lubuk hati aku dan aku tak peduli orang nak kata apa. Apa yang aku percaya itu hak aku. Biar mati pun tak apa dari aku paksa diri aku percaya apa yang mereka mahu aku percaya.



Ruh... Jasad dan Jiwa....
Soalannya.... ada tiga tu... yang mana itu adalah kita? Diri kita yang sebenarnya....


Pengembara Masa



Indahnya jika kita tahu kita ini siapa. Jika kita masih ingat semua memori lampau dari saat kita wujud. Kepercayaan dari setiap agama memberitahu siapa itu manusia namun aku sendiri masih tak ketemu jawapan yang aku cari. Sebenarnya aku lagi suka hidup terpencil dan bersendiri. Ya, memang bosan.


Masa... suatu misteri yang tak terungkai lagi sehingga kini. Wujudkah portal masa di mana kita boleh menyelinap masuk ke dalamnya dan pergi mengembara ke waktu-waktu pilihan kita. Kata mereka kita hidup hanya sekali, barangkali mungkin juga kerana tiada bukti apa yang boleh kita berpegang kerana kita wujud berjasad dan nyata pada saat ini. Apa pula erti sebuah kematian? Ianya suatu lagi misteri yang Tuhan cipta membuatkan kita tertanya-tanya dan masing-masing menegakkan pendapat dan kepercayaan masing-masing. Kalaulah kita bisa meneropong ataupun mungkin buat satu lawatan ilmiah bak kata pensyarah ke alam selepas mati. Seronok juga ya. Nak bawa apa ya sebagai bekalan? Mengapa hal ini menjadi terlalu sensitif sehinggakan kita hanya boleh bercakap mengikut apa yang mereka percaya. Sungguh tak adil dan kejam.

Musim...berganti musim..
Manusia...suka ikut trend... suka mengikut.. ikut-ikutan...
Dari fesyen pakaian, makanan seperti cupcakes, warna semasa, cara bersosial sehinggakan kepercayaan pula jadi ikut-ikutan. Ikut trend nak percaya apa. Apapun sebenarnya, kepercayaan bagi aku adalah suatu yang sentiasa mengalami perubahan. Berubah. Ya...berubah dan terus berubah. Kepercayaan terbentuk dalam minda. Matrix. Itu jaringan apa yang kita percaya. Terus berkembang dan berkembang bergantung pada jiwa yang duduk dalam jasad tu. Katakan matrix itu terhapus, maka apakah yang tertinggal? Mungkin tika seseorang mengalami amnesia mungkin seperti kita. Iya kan? Kita dalam amnesia. Sedar atau pun tidak.
Buktinya, Tak ingat apa-apa pun sewaktu kita lahir. Oh ya, masih bayi. Tapi pelik ya jika seseorang itu tahu bermain piano dengan hebat tanpa belajar not apa pun seolah lahir dengan kebolehan yang terpendam. Hairan.. hmm... atau mungkin suatu fobia pada perkara-perkara yang bukan aneh... tanpa alasan. Manusia malas nak berfikir. Apa yang seronoknya memperbaharui status di mukabuku pun aku tak tahu. Oh ya... aku tahu jalan ni dan selok-belok di tempat ini. Eh...di sana ada sesuatu... aku gali tanah dengan tangan... dan temui suatu kotak aneh...




Aneh...aku tak pernah sampai di dalam hutan ni... macamana aku boleh tahu... pelik.