howear.wordpress.com
Aku berjalan meniti hari-hari... adakalanya dunia ini terasa asing buatku. Pernah aku ke KLCC suatu masa dulu dengan dua orang sahabatku dari Jepun waktu muda-muda di zaman belajar. Setibanya di sana semuanya seperti tak kena dalam jiwaku. Sahabatku sibuk memilih kasut, aku pula terasa seperti di alam lain walaupun jasadku ke hulu dan ke hilir dalam pusat membeli belah itu. Aku ada juga nyatakan perasaanku pada sahabatku namun sikit pun mereka tidak mengerti. Lalu sekali lagi aku putuskan untuk terus menyendiri tanpa aku ceritakan semua pada yang lain.
Terkadang usai sudah kelas-kelasku, aku memilih untuk duduk sendiri di tepi sungai. Lebih tenang aku di situ. Ya, aku tak seperti yang lain. Jika aku tak faham dan tak berpuas hati, aku lemparkan pertanyaan bertubi-tubi pada pensyarahku sehingga mereka terdiam. Aku tidak pernah mahu mencabar ego mereka, sikit pun tidak pernah kerana apa gunanya itu. Aku cuma mahu tahu apa yang aku mahu tahu. Tiada...tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang tahu semuanya apatah lagi layak bergelar Guru pada hakikat sebenar-benarnya. Setiap jiwa diberi cebisan demi cebisan dan bahagian masing-masing tidak pernah sama. Aku hairan, berguru yang bagaimana mereka maksudkan? Aku garu kepalaku yang tak gatal berkali-kali memikirkan kata-kata mereka. Hm.. santai lagi pabila aku melihat air yang mengalir tenang setiap kali fikiranku kusut. Biarlah mereka... kata hati kecilku.
www.layoutsparks.com
Dalam diri kita terlalu banyak misteri yang sukar buat kita huraikan apatah lagi apabila sesuatu yang terlintas di hati kita adalah sesuatu yang tidak dapat kita huraikan dengan kata-kata. Bukan semua yang hadir itu wujud dalam ikatan kata-kata. Kebesaran Tuhan itu tak terjangkau dek akal dan kerana infiniti setiap jiwa mampu menampung maksud demi maksud yang sungguh besar berbeza-beza setiap jiwa. Berkongsi misteri jiwa dengan yang lain bukanlah perkara yang mudah seperti berkongsi aiskrim Magnum yang baru seperti di kaca TV. Hanya jika kemampuan menjangkau maksud itu tergapai oleh jiwa yang lain barulah mesej yang mahu disampaikan itu mampu dihadam dengan baik.
hdw.eweb4.com
Setiap jiwa yang diciptakanNya telah dipahatkan kemas-kemas tentang beberapa perkara. Oleh kerana itu, sedalam mana pun lautan yang manusia selami, setinggi mana pun gunung yang di daki, sehebat mana pun ilmu yang dipelajari tetap tidak akan dapat memadamkan memori-memori yang Tuhan telah rakamkan dengan kemas dalam lubuk hati Jiwa-jiwa. Setiap yang namanya manusia itu, ada memori yang sama. Apakah memori itu? Apakah yang tersisa dalam jiwa setelah semua ingatan-ingatan yang lampau telah dipadamkan dengan sengaja? Pernahkah anda berfikir tentang perkara ini? Misteri diri ini memerlukan kunci yang letaknya tersembunyi dan kita juga perlu menjelajah dalam diri mencari pintu-pintu hati yang jumlahnya juga misteri.
Tiada paksaan dalam kepercayaan dan juga pencarian setiap dari kita berbeza-beza walaupun lahir dari rahim yang sama. Dalam pencarian diri ini juga terdapat peringkat demi peringkat di mana pencerahan diberikan di dalam hitam putih kehidupan dan terpulang pada kita untuk membuka minda dan hati demi pengertian diri yang sejati.
Jika pendua diri anda datang kepada anda, adakah anda sedar kehadirannya dan mendengari suara serta mengamati kata-katanya?
Jika pendua diri anda datang kepada anda, adakah anda sedar kehadirannya dan mendengari suara serta mengamati kata-katanya?