Friday 30 May 2014

Siri 3 IMD: Sebuah Penulisan Judulnya AKU

Topik ke Tiga: KUASA MARAH...AMUK...MURKA

www.fanpop.com

ALTER TERAHSIA BANGSA MELAYU sebenarnya tersimpan dalam unsur api iaitu sisi hitam seseorang yang menyimpan DARAH GILAnya. Ia juga dikenali sebagai tempat laluan jin dan syaitan sebagai PENGAWAL PERIBADI yang menyimpan RAHSIA TUHAN.

Orang Melayu punya BUDI BAHASA yang sangat kaya dalam jati dirinya. Namun yang menjadi sempadan sebagai batasan yang mencabar kesabarannya ialah MARUAH DIRI yang sangat tinggi dalam diri. 

Jika ada cubaan atau terjadi cubaan untuk menghinjak-hinjak atau mencalarkan maruah diri kita maka itulah masa yang haqq untuk mengeluarkan darah gila NAMUN ia harus dikawal dengan aras BUDI BAHASA yang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat umpama semburan api dengan kadar darjah kepanasan yang terkawal dan setara haqqnya untuk dihamburkan kepada penerima atau 'si polan' yang mencabar/mencalar/menghinjak maruah diri kita.

JANGAN BAGI MUKA JIKA MARUAH DIRI DIUSIK kerana itu PANTANG ORANG MELAYU.

Orang Melayu sebenarnya tidak suka bergaduh. Maka atas dasar inilah mereka adalah bangsa yang mengamalkan nilai diplomasi yang tinggi dan suka mengalah bagi mengelakkan konflik dan kesannya. Namun begitu ketahuilah bahawa KESABARAN MELAYU ada had batasannya.

Melayu itu IBU BANGSA dan Tanah Melayu sebesar Asia Tenggara ini sebenarnya adalah TANAH PARA DEWA yang juga dikenali sebagai Tanah Asal dan Tanah Kembali. Ceritera Kahyangan adalah KHAZANAH Melayu lama yang masih terpelihara namun ia hanya dapat dibuka oleh mereka yang haqq dan sekeras mana pun usaha kaum timur dan barat mencuba menghapuskan JEJAK LELUHUR dan juga SEJARAH dan TINGGALANnya ia tidak akan berjaya. Bebenang MERAH yang bersusur-galur sehingga muncul kembali WATAK-WATAK LAGENDA akan kembali beraksi. Sesuai dengan kiraan manusia mistik tentang kelahiran mereka yang muncul tepat sebagai dalang ataupun pencetus.


ILMU MENGENAL DIRI adalah ILMU YANG TERTINGGI DARJATNYA dari kelas-kelas ilmu yang lain dan ia juga dikenali sebagai Ilmu Jati... Ilmu Asas... Ilmu Asal-Usul yang menjadi pati/dasar kepada permulaan dan perkembangan sesuatu TAMADUN MANUSIA dan tunjang KEBUDAYAAN sesuatu bangsa. Dan HANYA BANGSA MELAYU yang diberi mandat untuk memegang ilmu ini kerana ia adalah haqq kepada mereka.

~Tamat Siri 3~

Friday 16 May 2014

Siri 2 IMD: Sebuah Penulisan Judulnya AKU

Topik Kedua: RASA, RAHSA, RAHSYA, RAHSIA

womanwithlion.com

Maqam diri itu bisa dimasuki dan dirasai walau tanpa disedari di tingkat mana dan apa yang sedang berlaku dalam diri.
Tidak berkehendak itu mati. Namun itulah hakikat yang sebenar diri.
Untuk hidup harus berkehendak.
Untuk hidup harus berilusi. Ilusi itu perlu untuk jiwa teruskan keabadian di zon infiniti.
Apabila memasuki Zon Kosong, segala apa yang dibawa dalam diri seperti misi, cita-cita, impian, harapan akan perlahan-lahan hilang dan sirna.
Kemudian apa yang berlaku ialah LAKONAN AKAN BERSANDARKAN SIFAT ASLI KERANA AKU TELAH MENYERAP KE DALAM DIRI.
Dan menjadi pencetus ataupun DALANG dalam arus laku dunia.



SAKTI...adalah perkataan dalam alam melayu lama.
Jika dilihat dari sudut bahasa atau definisi harfiahnya adalah KEKUATAN, DAYA UPAYA, TENAGA, KUASA, KUASA MISTIK TERPENDAM, POTENSI, ENERGI.
Dewi Shakti ialah jelmaan dari kekuatan tenaga daya upaya Sang Gusti Agung Hyang Maha Tunggal.
Maka Shakti yang sebenar bukanlah makhluk tetapi adalah sesuatu 'energi' dalam diriNya sendiri.
Maka tidak pantas jika dikatakan Shakti itu setara dengan makhluk-makhluk yang lain.
Kerana Shakti bukan makhluk. Namun makhlukat itu yang sebenarnya diciptakan dari keSaktian Gusti bermaksud segala apa yang dicipta itu mempunyai energi/ sakti yang dititiskan dari DAYA YANG ASLI.



-Tamat: Siri 2-

Saturday 10 May 2014

Siri 1 IMD: Sebuah Penulisan Judulnya....AKU.

Topik Pertama: TAQDIR... DESTINY

justapicture.com

Kehidupan.
Ia adalah tentang sebuah pencarian.
Persoalannya... apakah yang kita cari dalam hidup kita sehari-hari?
Adakah pencarian kita itu merupakan destinasi terakhir yang kita klasifikasikan sebagai 'kepulangan yang dinantikan'?....

Aku berjalan meniti hari demi hari.
Walaupun letih aku tetap terus berjalan, jikapun tidak takdir akan tetap mengheret aku sekiranya aku enggan berjalan. Kejam bukan? Tiada pilihan.

Destiny...Taqdir...Qada' dan Qadar...
Semua hukum ini sebenarnya dilandaskan oleh hukum alam terbesar iaitu KARMA. Ia bersifat seperti Boomerang.
Apa saja yang dikeluarkan, sebanyak mana jumlah pengKADARannya, maka sejumlah itu juga yang akan diterima sama ada hitam mahupun putih bergantung kepada asalnya.
Maka sebenarnya takdir kita hari ini adalah ditentukan oleh kehidupan kita yang lampau.
Ia boleh dikarang bermula dari mengubah KEPERCAYAAN kita.
SILSILAH/RANTAIAN pengkadaran segala yang diterima berasal dari apa yang terbit dari diri kita yang lampau. Inilah intipati hakikat ini.
Tulisan Silsilah inilah yang memenuhi apa yang dinamakan TABLET YANG DIJAGA.
Bermula dari Abracadabra...

-Tamat: siri 1-

Wednesday 19 February 2014

Gema Tanah Tuo...

www.artovermind.com

Sekian lama aku tidak berkunjung ke sini...
Diamku bukan berarti mati... diamku kerna aku mahu dan itu seru diri dalamku.
Sebenarnya aku punya terlalu banyak yang mahu dikongsikan, namun aku nikmatinya sendiri juga bersama mereka yang aku sayang.

Aku masih seperti dahulu malah aku yang sebenarnya telah dibuka dengan banyak perkara yang selama ini aku lupa.
Aku sangat-sangat rindukan masa lalu... masa yang mana semua itu hanya kami yang tahu bagaimana yang tersemat kemas dalam rasa di hati jiwa kami...
Siapa kami?
Teman-teman lamaku... yang berlari-lari bersama di balik awan infiniti...

Annur banyak menulis dan meluah rasa namun aku memilih untuk berdiam untuk beberapa waktu.
Diamku bukan bermaksud aku mengalah namun kerana aku tak merasa untuk menulis walhal di saat aku mulai diam aku sebenarnya telah menemui sesuatu khazanah berdebu di dalam kotak kuning keemasan yang telah lama tidak dibuka.
Seandainya kalian tahu apa yang aku tahu... pasti kalian akan menangis tanpa henti.
Aku tinggalkan di belakang semua yang berprasangka terhadap aku.
Aku benci hal yang remeh-temeh dan aku tak punya waktu untuk semua itu kerana hayat jasadku tidak panjang.

30 tahun sangat pendek buat aku dan aku kini sebenarnya begitu teruja sekali untuk menyiapkan kerjaku.
Namun aku harus cukup hati-hati dengan setiap isi hatiku dan kehendak kerana aku mahu melakar sejarah semula seperti setiapkalinya.
Dan perlahan-lahan setiap bait kata-katanya terngiang-ngiang di lubuk hati dan pengertian mula datang satu per satu.

Well... let's dance...
Mari kita bersama khayal dalam tarian berdarah ini dan kita lihat tarian siapa yang lebih mengujakan...
Aku sama sekali tidak seperti yang dibayangkan oleh sesiapa dan malang untuk kamu semua kerana aku tidak akan menjadi mereka, kalian mahupun sesiapa...
Mahu aku mengikut Timur Tengah sana? Go fish...
Mahu aku mengikut pendeta-pendeta busuk mereka? Go fish...
Apa mahuku? Hahahaha...
Tiada siapa pun yang akan tahu kerana apa?
Kerana aku cuma hanya mahu menari asyik... Tarian Dewa Dewi...




Thursday 10 October 2013

Aku kecewa dengan manusia...

www.layoutsparks.com

Aku kecewa dengan manusia...
Aku sedih melihat sikap mereka..
Mereka tidak tahu hatiku sungguh rapuh dan lemah sekali...
Manusia mengatakan aku adalah wanita yang angkuh tanpa mereka kenali hatiku bagaimana..
Setelah kutahu diriku bagaimana kuat hatiku untuk berkongsi pengertian dengan manusia..
Aku tahu semua ini mampu memberikan mereka kekuatan untuk teruskan kehidupan yang sungguh pedih ini..
Aku sanggup datang ke tengah-tengah mereka tanpa kukenal sesiapa pada awalnya...
Aku bentangkan kain di atas jalan lalu ku susun satu persatu bunga-bungaan yang harumannya menusuk ke kalbu...
Lalu aku menyanyi sendiri sambil melihat manusia lalu-lalang di sekitarku..
Kadangkala ada yang singgah dan mahu membeli bunga dariku...lalu aku tersenyum dan memberikan kuntuman bunga padanya sambil menggeleng kepala sebagai tanda menolak pemberian wang daripadanya sebagai harga bunga tersebut...
Aku berkata padanya..."ambillah sahaja..aku tak mahu apa-apa darimu cuma aku berharap wangian bunga itu dan keindahannya mampu menceriakan hari-harimu..."
Lalu dia berterima kasih...tersenyum dan berlalu pergi sambil menarik nafas dan mencium bunga-bunga pemberianku...
Aku merasa sungguh bahagia...


Aku lalu menyanyi lagi di dalam hati kecilku sambil menyembur wap air ke bunga-bunga yang tersusun di hadapanku...
Kemudian datang sekumpulan manusia datang mengambil bunga-bungaanku tanpa bertanya kepadaku dan berlalu pergi begitu sahaja...dan aku hanya membiarkannya...walaupun hatiku sedikit terasa...
Airmataku menitis sambil aku mengeluarkan bunga-bunga di bakul dan menyusunnya ke atas bentangan kain di jalan..
Datang pula tiba-tiba seorang manusia entah dari arah mana ku tak tahu dan dia memijak-mijak bunga-bungaanku lalu meludah ke mukaku dan menghina aku...
"Apa yang kau lakukan di sini? Kau ingat manusia suka dengan bunga-bunga busukmu ini? Sudahlah baik kau pergi dari sini kerana tiada siapa yang sukakan sampah-sarap yang kau bawa ini..!"
Lalu dia menyepakku dan berlalu pergi...
Dengan mata yang bergenang aku mengutip bunga-bunga yang telah rosak dan hati aku merasa sungguh berat sekali bagaikan hatiku pula yang dihinjak-hinjaknya...
Sambil aku melayan perasaan dan berfikir mahu berbuat apa...manusia tadi kemudian datang lagi dengan beberapa temannya yang lain...
Sempat aku melihat wajah mereka dan berkata di dalam hati..
Mereka inilah yang mengambil bunga-bungaku tanpa bertanya apa-apa padaku sebentar tadi..
Kemudian mereka berkerumun di sekelilingku dan saling ketawa sesama sendiri..
Ada yang hanya diam dan mengajak mereka pulang...ada pula yang membongkar bakulku dan merampas bunga-bunga simpananku lalu mengejek-ejek aku kerana kejelekan pakaianku yang compang-camping.
Aku tersenyum hambar pada mereka dan senyumanku tidak disambut mereka malah aku semakin dicaci dan dihina. Setelah itu barulah mereka pergi dan meninggalkan aku sendiri..
Ada yang ternampak kejadian tersebut dan berlari ke arah aku sambil menjerit-jerit memarahi sekumpulan manusia tadi..
Dia membantuku mengutip bunga-bunga yang telah dipijak-pijak mereka dan aku kemudian membungkus kain tersebut dan mengangkat bakul dan berterima kasih padanya..
Tak mengapalah kataku padanya..


Dengan berat hati aku melangkah pulang sambil menangis semahu-mahunya di dalam hujan yang mengiringi kepulanganku..
Oh Tuhan...
Kenapa begini sikap manusia....
Aku terduduk dan tertunduk di dalam hujan...
Kenapa mereka memperlakukan aku sebegini wahai Tuhanku...
Apa salah aku pada mereka...
Aku ikhlas mahu memberikan mereka bunga-bunga kepunyaanku yang kupetik sendiri di hutan sana..
Mengapa manusia semakin hilang rasa kasih dan sayang dalam diri mereka..
Mengapa manusia sungguh sombong mahukan keindahan namun diri mereka penuh dengan kekotoran..
Mengapa manusia sungguh bangga dengan diri mereka sedangkan mereka adalah insan yang jahil yang tidak mengenal erti susah payahku meredah hutan sana..
Aku sakit tinggal dengan manusia seperti mereka...
Yang mencuri-curi melihat keberadaanku di sini dan tergamak pula mereka mengambil bunga-bungaku dengan lemparan kata-kata yang menghinaku...




......sigh....
Ah....sudahlah....
Biarlah mereka...aku mahu tidur..
Esok aku mahu ke hutan lagi dan memetik bunga kesukaanku lagi untuk kuhadiahkan kepada manusia.
Aku suka dengan kerjaku ini sungguhpun manusia ada yang tidak suka dengan aku..
Aku sedar aku adalah wanita miskin tapi hatiku penuh dengan bunga-bunga dan aku mahu kongsikan keharuman dan keindahan bunga-bunga bersama manusia yang mahu mensucikan hati mereka.
"Ah...biarkan sahaja mereka yang tidak suka padamu...biarkan mereka...mereka tidak tahu..."
Aku terdengar suara memujukku...lalu akupun tertidur dengan genangan airmata...

Sunday 6 October 2013

Jiwa hidup dalam Ilusi Maya

www.adishakti.com

Ada jiwa-jiwa suci yang memegang jawatan penting di Institusi Ketuhanan. Jiwa-jiwa ini telah mencapai Hakikat Ketuhanan yang sempurna lalu terpancarlah dalam diri mereka Cahaya Jernih dan membawa Sifat-sifat Tuhan dalam diri mereka yang Kosong itu lalu Gerak Kerja Tuhan dilaksanakan dan dipikul oleh jiwa-jiwa suci ini. Seluruh alam telah menyerap penuh ke dalam jiwa-jiwa mereka dan setiap dari mereka membawa tugas-tugas khusus yang sesuai dengan sifat jiwa-jiwa ini.

Shiva adalah adalah nama yang tidak asing lagi di alam Melayu lama dan jiwa besar yang ideal yang mana semua jiwa berada dalam jiwanya dan ilmu jiwa ini adalah Haqq kepada Shiva. Shiva sendiri adalah ikon Jiwa dan dia adalah perlambangan kepada jiwa. Jiwa Shiva berilusi dan Ilusi Maya ini adalah Shakti atau juga dikenali sebagai energi kosmos di mana alam-alam terbina daripada cahaya-cahaya yang berlapis-lapis adalah diri Shakti itu sendiri. Seluruh alam Maya ini telah diserap penuh ke dalam jiwa Shakti dan Ilmu Penciptaan ataupun Ilmu Kosmologi adalah haqq kepada Shakti. Satu perkara yang harus kita jelas ialah... JIWA HIDUP DI DALAM ILUSI MAYA. Ilusi maya ini dibina daripada Cahaya. Apa yang membezakan satu jiwa dengan jiwa yang lain ialah TAHAP KESEDARANNYA. Apabila jiwa-jiwa memasuki alam-alam... mereka tenggelam di dalam ilusi alam tersebut dan membina matrix-matrix di dalam diri. Apabila jiwa mula mencari dirinya maka bermulalah perjalanan jiwa mencari pengertian dan perlahan-lahan jiwa mendapat pencerahan yang menerangi kabus-kabus yang menghijabkan dirinya dengan hakikat sebenar kehidupan. Dengan pencerahan yang diterima secara berperingkat-peringkat tahap kesedarannya juga turut meningkat.

communityispossible.com

Pembaca seharusnya jangan salah faham apabila diterangkan 'jobscope' ataupun bidang kerja jiwa-jiwa suci ini. Jiwa-jiwa suci ini telah mencapai hakikat ketuhanan yang paling tinggi malah mereka telah mencapai tahap Infiniti dan tahap kesedaran yang sangat-sangat tinggi. Jiwa-jiwa ini kesemuanya telah mencapai KESATUAN JIWA sesama mereka dan seluruh alam. Mereka bersama-sama bergerak kerja mengikut arahan Tuhan dengan tugas yang berbeza di dalam pentadbiran alam. Kunci kepada semua ini adalah TAUHID dan jiwa mereka berkemampuan menembusi mana-mana matrix alam kerana memiliki kunci ini. Jiwa-jiwa ini telah memecahkan kod-kod rahsia diri lalu terpancarlah Cahaya Jernih Infiniti dalam diri mereka dan Cahaya inilah yang membuatkan mereka mampu menembusi zarah-zarah cahaya ilusi alam maya dan keluar dari segala matrix dan jiwa mereka lebur di dalam Zhat Tuhan.

Muhammad pula di antara jiwa-jiwa suci ini dan dia memegang KESEIMBANGAN ALAM di mana dia sendiri adalah kedua-dua cahaya hitam dan putih. Cahaya ini yang juga dikenali sebagai Nur Muhammad di kalangan orang Islam berada di dalam setiap Ciptaan. Tiada apa pun yang dinamakan penciptaan melainkan ada cahaya hitam dan putih ini yang juga dikenali sebagai Yin dan Yang. Jiwa Muhammad juga sebesar alam-alam yang wujud sebagaimana jiwa-jiwa suci yang lain yang membezakan penyerapan jiwa-jiwa ini adalah sifat-sifat mereka yang juga turut mengasing-asingkan tugas mereka.

Di antara jiwa-jiwa yang lain adalah Vishnu dan Lakhsmi... Brahma dan Sarasvati dan banyak lagi. Setiap satu di antara mereka memiliki tugas yang berbeza-beza dalam Institusi Ketuhanan bersesuaian dengan Sifat-sifat Tuhan yang berbeza-beza dalam diri setiap jiwa-jiwa ini. Aku akan ringkaskan penerangan berkaitan tentang mereka nanti sebagai mukadimah kepada jiwa-jiwa hebat ini. Mereka kerapkali bereinkarnasi di setiap kelahiran untuk bersama-sama mentadbir alam dan memimpin jiwa-jiwa yang lain. Kini... jiwa-jiwa ini yang juga dipanggil The Immortals telah kembali menjelma sebagai manusia dan hidup di tengah-tengah masyarakat Melayu Islam untuk membawa pencerahan kepada jiwa-jiwa yang selama ini hidup di dalam Ilusi. Jiwa-jiwa yang lara di atas muka bumi ini menyeru Tuhan mereka berkali-kali dan mereka menderita kerana meraba-raba di dalam kegelapan lalu Tuhan yang Maha Penyayang itu menghantar kembali jiwa-jiwa yang disucikan ini di tengah-tengah manusia.



Manusia di luar sana khususnya masyarakat Islam pasti akan memusuhi kami kerana apa yang kami bawa ini kedengaran asing daripada apa yang mereka imani. Namun kebenaran itu datangnya daripada Tuhan dan Dia berhak menentukan siapa yang layak untuk menerima dan memikul kebenaran ini. Kini jiwa-jiwa yang telah disucikan itu telah datang dan membawa kebenaran dan hanya mereka yang BENAR-BENAR MENCARI KEBENARAN dari Tuhan akan mengerti bahawa apa yang dibawa oleh jiwa-jiwa ini adalah kebenaran yang mereka cari. Realiti itu tempatnya di dalam HATI jiwa dan mereka yang mensucikan hati-hati mereka akan mudah menerima Cahaya dari Tuhan. Kerana semua ini adalah cahaya termasuk jiwa.

Malaikat adalah ciptaan Tuhan dalam bentuk Ilusi untuk membantu mentadbir specimen Tuhan yang dinamakan JIWA ini. Malaikat menyimpan rekod tentang jiwa dan mereka kenal dengan perangai jiwa-jiwa namun mereka tidak memahami hikmah Tuhan menciptakan mereka. Malaikat bekerja seperti BellBoy dan mereka tidak kenal erti jemu dan penat. Kerja pentadbiran jiwa-jiwa diuruskan malaikat dengan cukup teratur dan professional. Mereka hanya membantu untuk mentadbir pengurusan jiwa dalam mengenali dirinya dan seterusnya Tuhan mereka. Hanya jiwa-jiwa yang memiliki tahap kesedaran yang tinggi mampu menyingkap hakikat tentang Kehidupan Sebenar dengan gambaran yang jelas dan mereka juga mengenali watak-watak isi alam dan juga sedar tentang Pentadbiran Kerajaan Langit milik Tuhan. Aku bukanlah membawa satu ajaran baru di tengah-tengah kalian melainkan aku hanya membawa pencerahan untuk jiwa-jiwa yang dahagakan kebenaran.



Sesungguhnya tiada paksaan dalam bekepercayaan dan pertimbangkanlah segala kata-kataku dengan hati yang ikhlas dan jujur serta mintalah petunjuk dari Allah untuk diberi penjelasan kepada semua kekusutan yang dialami oleh jiwa. Siapa kami itu semua tidak penting buat kalian... apa yang penting ialah jiwa harus mencapai tahap kesedaran dan membebaskan diri dari belenggu-belenggu yang mengikatnya. Mungkin ada yang tidak senang dengan aku dan semua pernyataan dariku namun aku hanyalah mengatakan yang benar walaupun semua ini terlalu pahit untuk ditelan. Ketahuilah selagimana jiwa menafikan hakikat-hakikat kehidupan maka selama itulah tahap jiwanya tidak akan meningkat dan tidak perlulah jiwa meminta sesuatu yang tidak wujud kerana sekeras manapun jiwa berdoa kepada Tuhannya ia tetap tidak akan mengubah hakikat kehidupan melainkan dirinya harus rebah dan mengaku kalah dengan Tuhannya.

Friday 4 October 2013

Hidup ini suatu senda gurau yang serius...

wallpaperbackgrounds.com


Aku berjalan lagi di atas pentas permainan ini meniti waktu hari demi hari. Kadangkala terasa sebal melihat manusia dan tingkahlaku mereka. Entah kenapa aku langsung tiada cinta pada gaya kehidupan pada zaman ini dan membuatkan aku menggaru-garu kepala dengan kesukaan-kesukaan mereka pada yang palsu. Aku merasa sungguh janggal semuanya bagai tak kena dengan jiwaku. Aduh... Tuhan... aku tahu semua ini hanya sebentar namun sehari kulalui pun terasa bagaikan setahun lamanya. Aku benar-benar rindukan alam kahyangan di mana semuanya sungguh nyaman... penuh cinta dan pengertian. 

Di sini aku menjadi manusia biasa yang harus mengerah keringat untuk mendapatkan sesuap nasi. Di sini aku tidak punya apa-apa kuasa seperti di sana dan seperti waktu-waktu dulu. Oh lemahnya aku wahai Tuhan sehingga begini sekali aku tercampak ke muka bumi. Aku mencari yang sejati namun sukarnya untuk aku menemuinya. Aku mencari erti namun ia terselit di celah-celah kehidupan dan selalunya dilepas pandang oleh manusia biasa. Sunyi terasa dunia ini walaupun pada zahirnya hiruk pikuk kehidupan tidak pernah henti membalut kehidupan manusia lain. Aku tak tahu mahu ke mana langkah kaki ini harus berjalan. Semuanya terasa asing. Aku hanya hidup kini untuk mereka yang tersayang dan demi perjuangan mendapatkan hak aku. Selebihnya dunia ini terasa hambar sekali kerana aku tidak cinta padanya. 

Aku melihat lakonan manusia. Sungguh asyik mereka dalam dunia masing-masing. Aku kini belajar menerima hakikat bahawa aku tidak seperti mereka. Aku pun tak salahkan mereka. Barangkali mereka bahagia dengan apa yang mereka lakukan. Manusia... ketahuilah... sesungguhnya Allah memberi rahmat kepada kalian dengan menghilangkan semua memori kalian yang lalu. Lalu kalian memulakan kehidupan yang baru dengan bersungguh-sungguh dan kelihatan juga kalian gembira dengan apa adanya. Tidaklah aku membongkarkan rahsia ini untuk mendera jiwa kalian namun aku hanya mengatakan yang benar. Ternyata bukan mudah untuk hidup dengan mengetahui rahsia-rahsia alam yang sungguh menyakitkan. Maka tidak hairanlah ada di antara manusia yang terpilih membawa mimpi-mimpi indah kepada manusia-manusia yang lain kerana dengan bermimpilah baru kita merasakan bahagia dan gembira. 

www.layoutsparks.com

Manusia sukakan yang mudah-mudah sahaja dan yang indah-indah dalam hidup mereka. Jiwa-jiwa yang sejati hidup dan lahir semula berkali-kali dengan membawa sumpah dan janji... taat setia pada cinta... perjuangan dan pencarian erti dalam kehidupan. Mereka termenung mengenangkan hidupnya. Sungguh dalam perasaannya apabila jiwa-jiwa yang sejati ini melihat langit... melihat laut... merasakan angin... berjalan di dalam hujan. Terasa mendengar sayup-sayup suara orang yang memanggil tatkala angin menyapa mukanya. Terasa hiba mendengar tangisan seseorang yang berbisik di dalam hatinya. Saujana mata memandang alam yang luas seakan-akan membawanya ke zaman lampau dan perasaan yang lalu datang menerpa dan diri tenggelam lagi.

Apakah yang aku cari...? Hilang tidak dimengerti. Apakah yang hilang... hanya hati yang tahu. Oh Tuhan... berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan perjalananku ini. Aku sudah hampir tiada daya untuk meneruskan semua ini. Berikanlah aku erti supaya hidup ini tidak kurasakan kosong. Berikan aku cinta supaya aku mampu berdiri lagi. Berikan aku cinta supaya hidup ini bukanlah mati. Jiwaku terdampar rata sama dengan bumi. Aku tahu teman seperjuanganku faham perasaanku ini. Keabadian memamah jiwa kami sehinggakan untuk hidup barang sehari lagi pun bagaikan tiada daya. Kami sudah benar-benar lemah dan penat sekali dengan permainan ini. Semua bagaikan tiada erti bagi kami. Aku sudah bosan bermain. Namun aku tetap harus bermain dengan permainan kehidupan ini kerana ia adalah sesuatu yang serius bagi manusia di sekeliling aku. Aku kini hidup hanya demi untuk mereka yang tersayang. Supaya mereka dapat merasakan gembira dan bahagia di tengah-tengah kehidupan. Aku tak mahu mereka tahu apa yang aku tahu.

Dan manusia yang sudi menemani aku di sini... aku juga bukan mahu membuatkan kalian lemah dan sedih. Aku mahu kamu hidup dengan gembira. Tak mengapalah jika hidup kamu dipertaruhkan untuk sesuap nasi. Mungkin itu lebih baik untuk kamu kerana aku rasa kamu tak perlu tahu banyak dalam hidup kamu. Aku harap kamu semua bahagia dengan apa adanya. Dan berusahapun dengan perasaan gembira. Terus-terusanlah kamu bermimpi jika itu lebih baik untuk kamu. Roda ini tetap akan terus berputar-putar tanpa henti. Bergilir waktu membawa kamu masuk ke dalam kehidupan yang berbeza-beza setiap kalinya. Bertanyalah pada diri... jika semua datang dan pergi... apakah yang akan aku bawa dalam hidup ini..? Apakah yang akan tersisa dalam diri dan terus kekal dengan aku? Itulah dia Cinta yang Sejati.