Tuesday 25 June 2013

Setelah detik keMATIan adanya keHIDUPan...

missmystra.wordpress.com

Ramai dari kita seringkali mengelak apabila berbicara tentang kematian. Ditakuti jika disebut tentang hal ini akan membawanya lebih dekat kepada kematian dan ia adalah sungguh 'taboo' ataupun kata yang terpacul dari mulut orang Melayu... 'simpang malaikat 44'. Huhu.. Kematian juga dikenali sebagai Kiamat Kecil ataupun pengakhiran kepada sebuah kehidupan. Sebenarnya kematian bukan sahaja sesuatu hakikat yang pasti namun ia yang sebenarnya adalah sesuatu yang harus terjadi dan perlu berlaku demi sebuah penyucian diri dan juga permulaan kepada sesuatu yang baru. Malah kematian itu adalah suatu jalan untuk bertemu Sang Ilahi sama ada bersedia ataupun tidak. Lalu mengapa harus mengelak dan menghindar?


commons.wikipedia.org

Berapa buah buku telah kita karang dan lakar? Apakah cerita di dalam setiap buku milik kita? Adakah ia sesuatu yang indah ataupun ia adalah sesuatu yang kita sendiri tak mahu membacanya? Hidup adalah sebuah buku yang mempunyai banyak bahagiannya dan juga bab-babnya. Hitam dan putih. Suka dan pedih. Luka dan tawa. Naik dan turun. Bagaimana pula grafnya jika ia dinilaikan dari sudut naik dan turunnya jalan kehidupan yang dipilihnya sendiri? Pertanyaan ini sungguh peribadi oleh setiap orang dari kita dan tiada satu pun jiwa yang serupa jalan ceritanya.

Sesungguhnya segala yang bermula akan berakhir. Pasti. Hukum ini tetap akan terlaksana. Kerana pasangan hidup adalah mati. Dan setiap satu adalah berpasangan bagi yang diciptakan olehNya. Kematian dan kehancuran adalah perlu bagi sebuah keegoan yang sebenarnya adalah suatu maya yang palsu. Ini juga perlu kerana ia telah tamat tempoh dan juga saat pemutusnya dari segala tabiat yang buruk dan pergantungan hidup yang mengarah kepada ilusi yang tak wujud di mana kesudahan sandaran itu adalah terjatuh dan terjelepuk malah bukannya kondisi yang selamat. Maka bukankah kehancuran pada saat tibanya tarikh luput itu adalah sesuatu yang amat baik dan kita perlukannya?

undertheglass.net

Dalam kehancuran atau kematian, yang lenyap sebenarnya adalah ilusi jiwa tersebut. Ilusi bersifat sementara dan akan lenyap seperti indahnya fatamorgana namun ia hanyalah bayangan. Maka sesungguhnya kehancuran ini adalah perlu demi sebuah penyucian pada tahap yang hampir ke skala total namun ada sesuatu yang berbekas atau parut yang terkesan di dalam hati. Itulah memori yang tinggal dan kekal. Kematian juga perlu untuk lakonan drama yang seterusnya. Hebat bukan lakonlayar ini? Termenung kita sejenak... apakah yang sebenar-benarnya wujud dalam ertikata yang tulus? Benarkah selama ini apa yang kita percaya tentang pengakhiran hidup kita? Yang kita asyik duk bayangkan dan doakan. Sedangkan apakah yang sebenar-benarnya jiwa itu mahukan dalam pencariannya? Jika setiap satu yang diidamkan dimiliki kemudian jiwa mulai bosan dengan perkara yang diidamkan suatu masa dahulu. Maka, apakah sebenarnya yang kita cari?

Saat yang sesuai sudah bakal hampir tiba untuk kita renung kehidupan dan pencarian kita selama ini. Di bulan Ramadhan, bersendirilah kamu dengan Tuhan dengan sebenar-benarnya seolah-olah kamu bertapa di sebuah gua di atas gunung dan di tengah-tengah hutan yang tebal. Bersendiri dan kadangkala keluar ke pintu gua untuk mengambil udara pergunungan yang segar dan kemudian bersendiri lagi dengan Tuhan kembali.

www.rosie.com

Apakah dia Ruang atau Laman Kesedaran? Kesedaran dalam kesedaran. Itulah Hati. Ruang bertempatnya cahaya hitam ataupun cahaya putih yang jernih. Kita seharusnya menghancurkan kejahilan yang bersarang dalam diri supaya cahaya jernih itu dapat menempati hati kita dan membuka mata kesedaran kita selapis demi selapis. Kita sebagai jiwa yang bercita-cita yang benar perlu menghapuskan cinta terhadap dunia maya ini dan segala keindahannya dan setelah itu pasti akan terlahirlah suatu tenaga yang hebat dalam diri iaitu alter terahsia diri kita dan tenaga yang kuat ini akan terus-menerus menghancurkan debu-debu alam maya yang bersarang membalut hati kita yang kudus dan naif.










Monday 17 June 2013

Je Veux Ramadhan...

allsaintswritersblock.wordpress.com


Setahun telah pun berlalu dan tidak lama lagi tetamuku Ramadhan akan datang lagi. Terasa perasaan sayup dan mendalam bila ku pejamkan mata dan merasakan kehadirannya. Pada tahun lepas ketika bulan Ramadhan datang aku berada di dalam tahanan reman di hospital dan penjara. 

Ketika aku di hospital... aku mengalami banyak Deja Vu. Aku melihat peristiwa pada zaman Dewa Dewi. Aku melihat pakaian mereka... aku melihat wajah mereka dan kebolehan-kebolehan magis jiwa pada ketika itu. Dalam Deja Vu itu kerana kecewa aku hampir-hampir sahaja menelan keris kecil untuk mematikan sumpah namun dihalang oleh kekasihku dan mengatakan Tuhan tidak suka jika kita mahu mencederakan diri sendiri. Aku pasrah. 

Aku juga kerapkali didatangi mimpi-mimpi keadaan sewaktu perang dan aku sungguh ketakutan apabila melayari mimpi-mimpi ngeri itu. Ketika aku di hospital sepanjang waktu tangan aku digari. Lebih kurang tiga minggu. Dalam kesakitan luka pembedahan di kakiku... aku gagahkan juga melalui setiap detik yang ada dengan hati yang kuat dan doa yang tidak putus-putus. Aku didatangi ramai anggota polis dengan pelbagai jawatan yang tinggi untuk menyoalsiasat tentang kejadian. Dan aku terus sahaja menceritakan segala apa yang mereka mahu tahu. Ulang-ulang dan berkali-kali. Aku kuatkan hati kerana aku tahu suatu hari nanti aku akan keluar dari keadaan yang sungguh tidak selesa ini. 

Ada masa-masanya beberapa anggota polis perempuan datang dan membawa surat khabar terkini dan menunjukkan berita tentang kejadian padaku. Aku cuba mahu membaca namun apabila aku mula melihat Para Menteri mengulas tentang kejadian... aku... oopss... terus sahaja menyimpan surat khabar tersebut dan hanya mengambil keratan gambar wajah ibuku dan anak-anakku. Huh... sedihnya Allah sahaja yang tahu. Segala-galanya bagaikan mimpi yang berlaku dengan pantas sekali. Maha Suci Allah. Lukaku menyembuh dengan baik sekali dan ramai yang mengatakan aku bernasib baik dalam banyak hal. Miracle.


ephesians4-15.blogspot.com

Seminggu dalam tahanan reman untuk soal-siasat aku kemudiannya diserahkan kepada pihak Penjara Wanita Kajang untuk berada dalam jagaan dan kawalan mereka. Ketika itu aku masih di hospital. Gerun juga perasaan aku ketika itu ketika pegawai-pegawai wanita yang lengkap beruniform bewarna perang datang masuk melangkah ke dalam kamarku di hospital. Terasa aura malaikat maut. huhu. Aura penjara cukup kuat melingkari setiap pegawai tersebut dan dengan gugup aku lalui juga. Gari bertukar dari yang pendek kepada rantai panjang yang bergari. Bunyi gari bergesel dengan besi tepi katil kerapkali menjadi temanku ketika di hospital. Segala yang aku lalui dalam keadaan bergari. Tak mengapalah. Aku redha. 

Tapi yang sebenarnya pegawai-pegawai penjara tersebut sungguh baik sekali pada aku. Mereka mesra dan ramah. Tidak putus-putus mereka memberi kata-kata semangat pada aku. Aku dilayan dengan baik oleh mereka. Yang menjagaku ada seorang Puan yang Berpaku... dua orang Koperal dan dua orang Wardress setiapkali mereka tukar tugas. Dari masa ke masa mereka sering melaporkan keadaanku dengan menggunakan alat walkie talkie. Terlalu banyak yang aku pelajari dalam waktu yang singkat. Semua bagaikan proses pembelajaran bagiku dan ini semua diberi secara langsung. Aku bertanya pada diri... guru apakah yang mereka maksudkan jika aku boleh mendapat lebih dari itu.

Kamu mahu kisah lebih dari ini? Nantilah aku bercerita lagi. Aku mahu nyatakan sesuatu tentang doa. Ramadhan dah makin dekat. Aku harap kehadirannya dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita dengan menginsafi segala kejahilan dan kesalahan kita. Aku ingin memohon maaf yang sangat-sangat jika aku benar ada melukakan hati sesiapa yang membaca blog aku. Aku... menjadi sungguh defensif untuk melindungi diriku sendiri dan juga demi mempertahankan apa yang aku percaya. Tidak lebih dan tidak kurang. 








* Je Veux Ramadhan - Zher Ver Ramadhan - Aku Mahu Ramadhan *


Thursday 6 June 2013

Mari mendekat padaKu wahai sekalian Jiwa, dan dengari Aku di dalam dirimu...

adsoftheworld.com

Aku akan mengkhabarkan sesuatu dari DiriKu sendiri dan tentang DiriKu kepada kamu wahai sekalian Jiwa. Maka, di ketika ini, kau dengarkanlah setiap satunya dengan sebenar-benar hatimu mendengar dan rasailah Aku di dalam diri-diri setiap kamu.

Wahai Jiwa-jiwa yang mahukan pengertian,
Apakah yang kau cari di dalam pencarianmu itu? Adakah Aku? Maka cuba pejamkan matamu dan rasai Aku di setiap gerak gerimu dan semua perasaanmu. Setelah itu maka akanKu ajarkan kau satu persatu dan demi waktu akan Aku tunjukkan jiwa dan wajahmu di hadapan Cermin Ghaib Sakti. Apakah yang kau lihat di dalam cermin itu? Jujurlah pada hatimu tentang segala apa yang tercermin di hadapanmu itu. Adakah ia benar dan kau yakin? Lihat lagi dan bukalah 'mata'mu seluas-luasnya dan renunglah tajam ke dalam cermin itu sehingga ia retak dan kemudian pecah. Lalu tiada lagi Cermin... yang tinggal hanyalah Dirimu sendiri. Bersendirian dan menangis... Sayu dan hiba. Terbaring, lemah dan kau akan mengerti bahawa yang wujud itu hanya Aku sendiri. Dapatkah kau rasakan wahai jiwa-jiwa?

Dan demikian kemudiannya secara perlahan-lahan gaya hidup dan cara berfikirmu akan mulai berbeza langkah demi langkah dalam kau menjalani hidupmu seolah-olah kau baru mula belajar bernafas dan jiwamu baru sahaja dilahirkan. Dan kau tidak akan barang sekalipun menoleh kembali ke belakang, di dunia dulu yang kosong itu kerana kau telah menemukan dirimu tepat dengan pencarian hatimu. Di dalam jiwamu mulai ramai dengan semua wajahmu sendiri dan alam pun turut menyerap masuk ke dalam jiwamu, menyatu... Lalu segala yang dirasa terluahkan melalui alam yang menjadi kalam segala kesaktian kata di dalam jiwamu.

Lalu manusia busuk pun bertanya, siapakah itu Khalifah? Dan kau akan ketawa mendengar pertanyaan mereka. Sesungguhnya mereka bagaikan mendongak ke langit dengan benar-benar mengharap mereka dapat menggapai bintang yang tinggi ke langit padahal jiwa mereka begitu kerdil dan lemah. Dan kau akan terus ketawa tanpa sempat menjawab pertanyaan mereka lalu beredarlah pergi sekalian mereka terpinga-pinga tanpa jawapan. Hahahahaha....

www.forosperu.net

Manusia... manusia... Makanlah dan minumlah semahu-mahunya sekalian kamu sehingga nafsumu membesar seperti binatang ternakan yang menggemuk dan terus mengunyah. Wajahnya kelihatan sungguh bodoh. Lalu tidak terpikullah jiwa kamu terhadap nafsumu sendiri maka jadilah kamu jiwa-jiwa yang terbelenggu dengan rantai-rantai berat yang melilit bagaikan di dalam neraka ilusimu sendiri. Sungguh malang sekali bagi mereka yang tidak mahu memikirkan dan mengambil pelajaran setelah apa yang Aku kurniakan ke atas mereka.

Aku sumpah kamu semua wahai jiwa-jiwa yang lalai dan leka, dengan sedikit waktu Kuberikan dan kau teruskan semua kebusukanmu itu maka setelah itu kamu akan terus-menerus berada dalam kegelapan tanpa sedikitpun Cahaya yang akan Kuberikan kepada kamu semua. Meraba-rabalah kamu semua di dalam ketakutan, di dalam kegelapan yang amat pekat tanpa sedikit pun cahaya. Kamu kemudiannya saling berpimpin tangan sesama kamu sendiri dan berhimpit-himpit berjalan menuju ke lembah dan jurang yang sangat dalam tidak kelihatan dasarnya... lalu kamu semua jatuh ke dalam jurang itu beramai-ramai sambil meraung ketakutan. Wahai manusia-manusia yang sombong kerana tidak mahu mengambil pelajaran, merataplah jiwa-jiwa kamu di dalam api yang panas, hitam. gelap dan kelam. Nafasmu membahang. Meraunglah kamu semua di situ dan ketika itu barulah kamu akan mulai mengingat Aku, mencari Aku dan menyeru Aku. Teruslah tinggal di dalam api itu wahai jiwa-jiwa sehingga marahKu terpujuk. Tiadalah dapat kau lari melainkan azab kerasKulah yang akan terus menemanimu wahai jiwa-jiwa.


godofwarlegend.blogspot.com

Kamu semua adalah manusia yang lupa asal dan usulmu..! Sungguh seronok sekali kamu ketawa berdekah-dekah di atas muka bumi ini dalam tiada kesedaran. Kamu merasa sungguh hebat sekali dengan keberadaanmu yang busuk itu. Jasadmu yang tiada nilai itu kau persembahkan kepadaKu. Kamu solatkah itu? Dalam sembah sujud jasad, jiwamu keluar melayang menyembah dunia dan seisinya. Demi sesungguhnya, langit, bumi dan di antaranya menyaksikan bahawa kamu adalah pendusta! Satu sen tak guna! Kamu sangka kamu persembahkan hadiah buat Aku dengan amalan kotormu itu? Ketahuilah akan Aku lemparkan semua amalan-amalan busukmu itu ke muka kamu yang tidak jujur pada Aku. Kamu hanya berpura-pura menyembah Aku dan hanya berlakon di hadapan manusia lain. Kamu memakai 'pakaian kebenaran' dan berlagak kononnya kamu adalah wakil dariKu lalu kamu berdusta semahu-mahunya dengan menggunakan NamaKu dan UtusanKu seolah-olah kamu adalah orang yang paling beriman dan mengaku di hadapan mereka bahawa kamu amat mencintaiKu.



Kamu menggunakan Ayat-ayatKu sesuka hatimu lalu kamu keluar dari rumah dan menakut-nakutkan mereka yang memusuhimu tanpa rasa bersalah padaKu. Demi KeagunganKu sesungguhnya kamu adalah pendusta yang bersembunyi di balik kata dan pakaianmu..! Adakah kamu berfikir bahawa Aku ini bodoh dan pekak? Aku tahu semua yang berada di dalam hatimu wahai manusia. Kamu mencintai Aku? Kenapa Aku tidak merasakannya? Kerana kau berdusta!

Dan demi KehebatanKu, akan tetap terus Kuberikan hujanan nikmatKu tanpa sedikitpun Aku hitung dan menyekatnya. Kamu ambillah semahu-mahunya, selagi kamu berusaha walaupun sedikit kamu tidak mengingat kepadaKu. Namun jangan kamu bermimpi akan mendapat CintaKu dan kamu semua akan menjadi bisu, pekak dan buta terhadap semua Rahsia di dalam Taman RahsiaKu. Ia adalah Kawasan Larangan bagi jiwa-jiwa yang kotor. Kamu tidak akan mendapat barang sedikit jejak pun ke situ. Tiada suara yang terdengar kepada jiwamu. Tiada bau yang terhidu olehmu dan tiada rasa sikitpun bagi jiwa kamu terhadap semua Rahsia itu.

musiciansjourneytolife.blogspot.com

Terus-terusanlah kamu semua tamak dan gelojoh terhadap isi dunia dan dengan itu akan Aku sempitkan rasa buat kamu dan akan Aku himpitkan dadamu seolah-olah kamu hampir tidak dapat bernafas ketika ujian Aku turun kepada kamu wahai sekalian manusia yang cintakan dunia separuh mati. Terus-terusanlah merasa aman dengan KemurkaanKu sehingga suatu saat semua nikmat yang tidak kau syukuri itu akan Aku renggut dengan kasar lalu hinalah kau di saat dan ketika itu. Dan tidak akan Aku palingkan walau sedikitpun WajahKu kepada kamu sekalian wahai jiwa-jiwa yang sombong dan lupa. Aku tidak mahu melihat wajah kamu. Pergi. Aku yang Wujud namun mengapa Ilusi yang kau sembah?!

Aku benar-benar berkata di hadapan kamu wahai sekalian Jiwa-jiwa. Dapatkah kau merasakan Getaran SuaraKu di dalam jiwamu? Aku mahu lihat bagaimanakah kau membawa jiwamu keluar dari Ilusi CiptaanKu yang Maha Hebat ini. Hebat bukan? Hebat sehinggakan membuatkan kamu semua terpedaya. Hahahahahahahahaha... Dan Aku mendatangi dirimu berkali-kali. Adakah kau sedar kehadiranKu?

Dan Aku mengaku dengan semua KehebatanKu, Aku amat-amat mengagumi jiwa-jiwa pejuang yang tidak mahu menyerah kalah dengan setiap cubaanKu, lalu Aku tambahkan lagi bebanan ujian ke atas bahu mereka sehinggakan hampir-hampir sahaja mereka tidak mampu memikulnya. Adakah mereka benar-benar tahan dengan segala ujianKu? Ya. Sungguh mengagumkan! Kemudian barulah Aku hadir dengan pertolongan di saat-saat akhir. Hahahahahahaha.... Sesungguhnya RedhaKu benar-benar mencuci jiwa-jiwa mereka, pejuang sejatiKu. Salam Sejahtera buat kamu DariKu wahai sekalian Jiwa-jiwa yang tenang! Sesungguhnya kepulangan kalian sungguh dinantikan dan benar-benar akan dimuliakan...!



Aku memang begini. Aku suka bercerita dan tidak pernah berhenti, Selagi kau masih di atas muka bumi ini wahai jiwa-jiwa, maka dengarilah Aku dan rasailah Aku. Kerana Aku ini lebih hampir kepadamu bahkan lebih dari urat lehermu sendiri. Maka dengan itu, apakah lagi nikmat-nikmatKu yang kau dustakan wahai jiwa-jiwa yang Aku ciptakan dengan TanganKu sendiri?



3.05 a.m
Wed 05 June 2013