Friday 5 April 2013

KePERCAYAan... akukah... atau kamukah yang benar?

mrkiki.tumblr.com

Zaman berzaman, saat demi saat jiwa-jiwa dihantar ke medan ujian untuk diuji. Yang Maha Pencipta amat-amat menyayangi setiap jiwa-jiwa yang diciptakan. DihantarNya jiwa-jiwa ke bumi dan Dia sentiasa dekat dengan setiap jiwa yang sedang melalui ujian itu. Setiap apa yang diperlukan pasti dicukupi dan setiap yang jiwa lalui adalah merupakan ujian yang berupa teka-teki sebagai petunjuk jalan dan jawapan segala persoalan yang timbul dalam pertanyaan jiwa-jiwa itu. Setiap jiwa yang dimasukkan ke dalam jasad, Sang Penciptalah yang menentukan siapakah ibu dan bapa kepada jiwa yang kini bergelar manusia itu. Maka, adakah salah manusia jika ibu bapanya tidak seperti mana yang mereka mahukan? Tidak, ibu bapa mereka tidak salah dan anaknya juga tidak salah. Kerana tiada kebetulan dalam hidup ini melainkan semua adalah ketentuanNya.

Jiwa melalui fasa-fasa kehidupan dari bayi, kanak-kanak, remaja. dewasa. tua dan kemudian mati. Sepanjang fasa inilah, petunjuk-petunjuk dari Pencipta akan datang mengetuk hati-hati setiap jiwa sama ada dia sedar atau pun tidak. Setiap jiwa lahir dengan pertanyaan yang sama terhadap dirinya, 'siapakah aku?', 'dari mana aku datang?', 'ke manakah akan aku pergi selepas aku mati', 'di manakah aku sekarang', .... persoalan demi persoalan timbul. Lazimnya, setiap agama-agama yang ada di dunia ini menjawab persoalan-persoalan ini dengan pelbagai jawapan. Soalannya, akukah atau merekakah yang benar?

Manusia akan percaya apa yang mereka mahu percaya. Kepercayaan adalah bersifat peribadi ataupun personal. Matrix itu ialah apa yang kita percaya dan ini jugalah yang umat Islam panggil dengan terma Arabnya iaitu Iman. Masing-masing akan benar-benar percaya yang merekalah yang paling benar. Kepercayaan seseorang bergantung kepada pemahaman hidupnya dan juga ilusi-ilusi dalam fikirannya. Sesungguhnya jiwa berada di dalam sebuah alam yang benar-benar ilusi dan semua ilusi ini tidak wujud, namun ia semua hanya dinampakkan seolah-olah wujud dan benar untuk jiwa-jiwa belajar tentang hidup dan dengan akal dan hati yang dikurniakan untuk jiwa, semua modal ini digunakan untuk mencari dirinya sendiri dan juga siapa Penciptanya setelah semua memori di Dataran Tak Bertuan dahulu dipadamkan dari ingatannya.

Wajarkah, Pencipta yang Maha Penyayang itu menghukum jiwa-jiwa dengan hukuman yang seberat-beratnya SELAMA-LAMANYA? Tidak sama sekali. Tidak pernah dan tidak akan. Sesungguhnya jiwa itu dilepaskan bebas di medan ujian untuk mencari dirinya sendiri dan dia bebas untuk mempercayai apa yang dia mahu percaya. Antara satu jiwa dengan satu jiwa yang lain tidak layak sama sekali memaksa yang lain percaya segala apa yang mereka percaya. Pencerahan setiap jiwa-jiwa dengan yang lain adalah berbeza-beza bergantung kepada kefahaman dan penerimaan mereka. Lihat sajalah, berapa ramai manusia yang tua pada jasadnya namun jiwanya seperti kanak-kanak. Manja dan tak tahan dengan ujian. Asyik merungut.

rebeccaharp.com

Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini yang tahu segala-galanya kerana mereka bukan Tuhan. Dan mereka tidak layak menghukum manusia yang lain selayaknya bagaikan dia itu Tuhan. Tidak. Di bumi ini kita semua bagaikan si buta yang tak dapat melihat semua kebenaran dengan erti kata yang sebenar-benarnya melainkan semuanya berlapis-lapis dan berperingkat-peringkat. HANYA, ada beberapa jumlah jiwa yang dihantar oleh Sang Pencipta membantu manusia yang lain untuk menunjukkan jalan untuk menemui dirinya dan juga Penciptanya. Namun, manusia-manusia pilihan ini tidak mampu sama sekali membuka kebenaran yang bersifat final termasuklah dirinya sendiri.

Tiada Tuhan melainkan Dia dan demi sesungguhnya Dia adalah Maha Suci daripada apa yang jiwa mampu bayangkan. Malangnya, Dia adalah Infiniti dan tidak akan suatu jiwa pun yang mampu benar-benar mengenali Tuhannya sepenuhnya kerana itu tidak mungkin akan terjadi. Kesakitan dalam pencarian jiwa terhadap dirinya sendiri dan juga Penciptanya itulah yang akan mencerahkan kegelapan dalam diri dan mengisi kekosongan dalam dirinya juga. Hanya jiwa-jiwa yang menemui Sejati Dirinya akan mengerti hakikat semua ini. Dan semuanya bukan mudah melainkan penderitaan yang tak terkata yang dialaminya dan sesungguhnya jiwa-jiwa akan diuji berkali-kali sehingga dia menemui apa yang dia cari.

Maka, apakah kita layak memandang manusia lain hina hanya kerana mereka tidak percaya apa yang kita percaya? Layakkah kita merasakan kita lagi benar dari mereka atau pun mungkin yang terjadi adalah sebaliknya? Benar, Tuhan telah menurunkan Al-Quran dan kitab-kitab yang terdahulu sebagai Petunjuk, namun persoalannya, adakah apa yang kita percaya dengan limitasi-limitasi yang kita ada itu adalah sebagaimana yang dimaksudkan oleh Yang Memberi Petunjuk itu? Sama sekali tidak! Dan demi sesungguhnya Tuhan yang Maha Pengasih itu tidak akan pernah menzalimi apatah lagi menyeksa jiwa-jiwa ciptaanNya dengan seksaan yang tak mampu ditanggungnya.



Persoalannya, mampukah jiwa-jiwa menanggung seksa neraka yang membakar selama-lamanya? Tepuk dada dan tanya apakah yang anda percaya. Jangan kamu menjadi begitu jahil dengan mengatakan Tuhan yang berkehendak begitu. Jika ya, maka aku katakan Tuhan aku tak sama dengan Tuhan kamu, kerana Tuhanku Maha Penyayang. Jauh lebih hebat dari apa yang kamu sangkakan.

Maha Suci Tuhan dari apa yang makhlukNya fikirkan!

6 comments:

  1. Post dari Tanyasamaituhudhud

    ni annur yg tulis..

    SATURDAY, 21 APRIL 2012

    Apa itu kepercayaan bagi anda???jom berkongsi...
    Salam sejahtera,lama rasanya saya tak keluarkan post terbaru yang serius. Kebanyakan post hanyalah luahan rasa saya sebagai seorang manusia biasa yang menjalani kehidupan yang biasa juga,sama seperti anda diluar sana.


    Bagi saya, penulisan sangat2 susah untuk dilakukan tanpa rasa yang mendalam terhadap sesuatu yang dibincangkan. Malah saya benci untuk menulis atas sebab jadual dan rutin penulisan yang sudah semestinya jauh dari diri saya yang sebenar yang sukakan kebebasan diatas apa jua. Termasuk cara berfikir,cara menulis dan apa saja.

    Jika ada dikalangan anda yang tidak berapa senang dengan cara penulisan saya serta pemikiran saya,maaf saya pinta,tetapi inilah saya. Saya berharap ada yang sudi menerima penulisan saya seadanya. Jika anda berkehendakkan ilmu dari penulisan saya,terus terang saya katakan,tiada ilmu yang saya suakan,melainkan semuanya cuma rasa kerana saya sungguh jahil dan tiada berilmu seperti kalian semua yang tentu lebih gah dalam pengetahuan. Saya di dalam blog ini hanya mengambil watak sebagai penyampai rasa. Setiap penulisan saya banyak menggunakan rasa berbanding ilmu :)

    Jadinya, untuk post kali ini saya akan buka satu perbincangan tentang kepercayaan. Bila kita sebut tentang kepercayaan,ini adalah benda yang sangat peribadi dan sulit untuk diluahkan apatah lagi dibawa sebagai satu tajuk perbincangan. Ia mungkin membawa kepada perselisihan faham,sikap prejudis terhadap penentang kepercayaan, prasangka sesama sendiri, malah yang lebih mengharukan rasa benci antara satu sama lain. Oleh kerana kesan perbincangan ini terlalu besar,maka tidak ramai yang sanggup membuka perbincangan tentang kepercayaan. Tapi tidak bagi saya, perkara ini perlu diluahkan supaya pembaca dapat mencari kebenaran yang sebenar tanpa sedikitpun disekat pemikiran yang ada. Setiap manusia berhak untuk bertanya tentang kepercayaan yang dia sedang anuti. Kebenaran tetap kebenaran dan ia takkan pernah tergugah dihadapan kebatilan. Kebenaran bukan sesuatu yang lemah untuk ia takut dan bersembunyi dari perbincangan. Maka,saya dengan ini memberi anda semua satu ruang untuk kita semua berbincang dengan sopan dan penuh adab,tanpa kata2 menyakitkan hati.

    Tiada cemuhan atau kata2 maki jika benar anda seorang pemegang teguh dengan kepercayaan anda. Saya berharap semua blogger cukup profesional tentang ini,ok?

    Disini saya akan berikan sedikit panduan tentang skop perbincangan kita:

    - Apa itu kepercayaan bagi anda?
    Kenapa anda berpegang dengan kepercayaan anda sekarang?
    Jika kepercayaan anda itu anda rasakan benar,sila berikan contoh yang nyata,supaya kita semua dapat bertukar2 pemikiran dan pendapat.

    - Dimana batas kepercayaan anda?
    Adakah batas kepercayaan anda itu cukup kukuh untuk menangkis setiap anasir luar dari mempengaruhi anda?

    - Perlukah wujud tuduhan sesat dalam berkepercayaan?

    -Apa itu sesat dari sudut pemikiran anda?
    Adakah setiap mereka yang berlainan kepercayaan dengan anda layak dituduh sesat?

    - Dimana letaknya sikap hormat menghormati dalam kepercayaan?
    Jika hujah yang dikemukakan gagal mendapat tempat dihati manusia,adakah kepercayaan itu dikira salah?
    Dan jika ia menjadi satu kepercayaan yang popular,adakah itu boleh dikira sebagai benar?

    Adakah hujah mampu menjadi neraca terhebat untuk kebenaran?


    Hmm...rasanya itu sahaja dari saya buat masa ini, saya berharap ada para bijaksana diluar sana yang dapat menjawab dengan baik segala persoalan yang saya telah kemukakan...tiada pergaduhan ok? berbincanglah dengan beradab jika benar anda seorang pemegang teguh dengan kepercayaan anda sekarang...


    jadikan kepercayaan anda seperti bunga di atas yang berkembang setiap kali mata anda dikelipkan...dan bebas dengan gembira ibarat burung berterbangan lalu menjadi idaman si anak kecil yang suci jiwanya...

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. http://9111tanyasamaituhudhud.blogspot.com/

    SATURDAY, 17 MARCH 2012
    Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri,disebalik pahit getir kemenangan menanti...

    Besar ruang matrix besar jugalah kod2 suci mampu dimasukkan.

    Takdir anda hari ini disebabkan oleh kepercayaan anda dimasa lalu
    kepercayaan membentuk amalan,amalan membentuk takdir.
    kepercayaan bakal mengubah takdir bilamana hukum karma telah terlaksana. Tapi takdir sedang berubah bilamana kepercayaan sedang berubah,dan hukum karma berada di dalam proses itu
    Apa itu amalan?itulah tindakan kita,yang baik sejak dari hati ia dikira,yang jahat,hanya dikira setelah berbuat...
    Maka,untuk mengubah takdir,perlu mengubah kepercayaan.
    Untuk ubah takdir sesebuah negara,perlu ubah kepercayaan rakyatnya.
    Kepercayaan itulah penggerak...dan kepercayaan kepada yang esa adalah penggerak yang paling sejati...apa itu kepercayaan dalam terma islamik?

    ya,itulah keimanan...

    ReplyDelete

  4. Saolan : Dimana letaknya sikap hormat menghormati dalam kepercayaan?

    Segelintir manusia2 yang berperang dgn jiwnya untuk membunuh Sikafir..
    http://www.malaysiakini.com/columns/225813

    ReplyDelete
  5. Fahaman dan falsafah rasis ini juga dibantu oleh agama. Ajaran agama yang mengajar dan mendidik manusia untuk hormat menghormati sesama manusia kini disongsangkan.

    Ada rabai, rahib, imam atau paderi yang menggunakan ayat-ayat suci untuk mengolah persetujuan mencari pengaruh. Lalu para agamawan ini mengakui bahawa agama anutan mereka sahajalah yang tepat.
    Hanya Tuhan mereka sahajalah yang benar. Hanya bangsa dan kaum mereka sahajalah dipilih oleh Tuhan
    http://www.malaysiakini.com/columns/225813

    ReplyDelete
  6. Demi sesungguhnya, hijab-hijab akan mula terbuka pada mereka-mereka yang Haq. Hanya Jauhari yang mengenal Manikam. Tidak perlu pun aku bertekak dengan sesiapa kerana kamu semua bukan lawan aku pun. Ada aku kisah kamu percaya atau tidak wahai manusia? Kamu cuma tahu makan dan minum sahaja. Terus-terusanlah begitu sampai kamu gemuk. Itu sebabnya kalian tak akan pernah tahu bagaimana udara di atas ini. Sama sekali tidak menyesakkan seperti kamu di bawah.

    ReplyDelete